Khamis, 7 Julai 2011

KokUM 11, di INSANIAH, Alor Setar, Kedah

SaifolFairuz

              Ulama` adalah pewaris kepada para nabi dan rasul. Mereka merupakan penyambung kepada tugas dan amanah yang diterima para nabi dan rasul yang sumbernya dari Allah s.w.t.. Ulama` juga mempunyai peranan dalam menyelesaikan penyakit-penyakit hati manusia dan juga membimbing mereka ke jalan yang diredhai. Atas kesedaran ini, Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) sesi 2010/11 Kolej Universiti INSANIAH (KUIN) merasa bertanggungjawab memberi pendedahan kepada masyarakat terhadap peranan mereka dan mengembalikan peranan para ulama` di tempat yang sewajarnya selari dengan ajaran dan tuntutan agama Islam. Hal ini kerana, kita lihat golongan ulama’ dewasa kini seakan-akan telah diketepikan dan mereka ini tidak dijadikan sebagai penasihat dan pembimbing dalam menyelesaikan sesuatu isu yang berlaku di dalam masyarakat. Oleh hal demikian, pihak MPM berbesar hati di atas penganjuran program Kolokium Ulama’ Muda Peringkat Kebangsaan (KOKUM 11’) buat julung kalinya diadakan di Kolej Universiti INSANIAH bermula dari 19-23 Julai 2011 (selasa-sabtu) dan juga menjemput semua rakyat malaysia  dan khusus warga INSANIAH untuk  turut sama menjayakannya.

KOKUM 11’ ini dilihat sebagai satu platform yang terbaik untuk memberi pendedahan tentang peranan dan tanggungjawab para ulama` kepada warga INSANIAH khususnya dan masyarakat amnya selain menyediakan ruang kepada mereka untuk melaksanakan tanggunggjawab dan amanah yang dipikul mereka. Menurut Pengarah Program KOKUM 11’ yang juga merupakan Setiausaha Agung, Majlis Perwakilan Mahasiswa sesi 2010/2011, Sdr. Mohd Saifol Fairuz B. Othman (Gambar) berkata, KOKUM 11’ ini dilihat sebagai salah satu usaha untuk menjadikan INSANIAH sebagai delegasi rujukan ilmu diperingkat kebangsaan dan antarabangsa di mana ianya selari dengan hasrat kerajaan negeri Kedah dalam merealisasikan Kedah sebagai bumi ilmu. Menurut beliau, program seumpama ini perlu dilakukan secara berterusan agar kecintaan masyarakat terhadap bidang ilmu terus subur dan berkembang. Program yang berlangsung selama lima hari ini akan diisi dengan  pelbagai pengisian yang menarik, antaranya Tafaqquh Fiddin, Bicara Ulama’, Air Mata Ulama`, Pertandingan pidato, Wacana Ulama’ Muda, Bicara Muslimat, dan pelbagai aktiviti menarik lain yang turut menampilkan ulama’-ulama’ tersohor di Negara kita. Harapannya agar program ini mendapat sambutan daripada semua pihak dan juga moga dengan izin Allah s.w.t. dapat mencapai objektif seperti yang diharapkan. Kami juga mengharapkan tajaan dan sumbangan daripada pelbagai pihak bagi menjayakan misi yang murni ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pages